Iman di Dada

Iman di Dada
Biar cintaNya beralun di segenap urat nadi

Monday 21 January 2019

ALEZ NATALIA BAB 2

“KALAU jadi apa-apa, jangan salahkan aku.” Suaranya seperti mahu menakutkan aku. Namun, aku masih mampu menayang riak selamba di hadapannya. Apa yang perlu ditakutkan pada manusia? Kita semua ciptaan Allah s.w.t. Tiada siapa yang dapat melawan kuasa-Nya.
“Nak jadi apanya? Takkan jadi apa-apa la.” Aku menolak jauh-jauh andaian yang bermain di fikiranku. Lelaki ini saja hendak takutkan aku. Kalau dia fikir aku ni penakut besar, dia memang silap.
“Kau terlalu yakin. Aku cakap sebab aku nak kau berhati-hati. Kau jangan bermain dengan nyawa, little girl.” Nada suaranya masih sama. Masih serius menandakan dia tidak bergurau.
Aku sedikit terpempan dengan gelaran yang diberikannya kepadaku itu. Little girl? Siapa budak kecil di sini? Aku dah masuk 21 tahun kut. Masih layakkah dipanggil budak? Mentang-mentanglah ketinggian aku ini tidak seberapa, dia menjadikannya sebagai bahan jenaka.
“Awak siapa sebenarnya? Penjenayah?” Aku menjegilkan mata, memberanikan diri untuk bertanya. Perkataan ‘penjenayah’ itu tidak terkesan langsung padanya. Dia hanya memandang aku tanpa riak. Mungkin dia merasakan dia superior.
“Kalau aku cakap ya, kau nak buat apa?”
Bibirku merapat sendiri. Siapa penjenayah? Dia? Penjenayah yang membiarkan dirinya dipukul? Rasa kelakar pula apabila difikirkan balik. Kalau dia penjenayah, takkanlah dia rela dibelasah begitu sekali? Kenapa dia tidak melawan?
“Dia orang cari kau nanti, pandai-pandai la kau selamatkan diri. Kau nak tahu tak siapa dia orang tadi?” Keningnya naik.
Aku mendengus halus. Lantaklah siapa orang-orang tadi. Aku bukan gertak dia orang pun. Aku sekadar mengugut dengan menipu untuk selamatkan lelaki ini. Bukan untuk tujuan lain.
“Kau nak tahu siapa aku?” Dia menyeluk kedua-dua tangan ke dalam poket seluar, menantikan responku.
Aku melangut ke atas. Dalam masa yang sama diri ini sedang mencari jawapan kepada soalannya. Siapa dia? Mengapa aku perlu tahu identiti dia? Penting sangatkah identiti dia itu?
“Aku Alez Bernardino. Bekas ketua mafia Itali. Dan yang tadi tu anak-anak buah aku.” Tanpa segan silu dia memperkenalkan diri.
Aku tergemap dengan mulut terlopong. Membatu bagaikan patung. Mafia? Ketua mafia? Itali? Otakku cuba mencerna. Bekas ketua mafia Itali? Maknanya lelaki ini ada kaitan dengan lelaki-lelaki bersut hitam tadi. Mungkin disebabkan itulah dia tidak melawan apabila dibelasah dengan kejam. Tangan aku mulai kedinginan. Hatiku berdetak dengan laju. Aku melibatkan diri aku sendiri dengan dunia mafia!
“Kenapa kau diam? Terkejut? Kan aku dah cakap kau sengaja cari nahas. Patutnya kau tak masuk campur. Kau tak tolong aku pun aku masih mampu melindungi diri aku.”
“Tapi … saya …” Aku tergagap-gagap, gagal menyusun ayat lengkap. Cara dia bercakap seolah-olah dia menyalahkan aku seratus peratus. Padahal aku sendiri tidak meminta semua ini terjadi. Kalau aku tahu dia bekas ketua mafia, aku memang tidak akan menolong dia. Menyesal pun tiada gunanya. Benda dah berlaku dan akibatnya akulah yang harus tanggung.
“Tapi apanya? Kau memang dah libatkan diri kau dengan kerelaan hati kau. Aku tak minta tolong kau pun.” Dia berkata selamba, berterusan mempersalahkan aku kerana masuk campur.
“Apa yang akan berlaku pada saya? Awak akan bunuh saya? Anak-anak buah awak akan cari saya?” Aku sudah tahu apa jawapannya tetapi masih gatal hendak bertanya.
“Bunuh kau? Aku tak ada motif untuk bunuh aku. Kau bukan musuh aku. Aku takkan perangi kau. Lagipun aku dah tinggalkan semua tu.” Jawapannya membuatkan aku sedikit lega tetapi rasa takut masih ada.
“Habis tu awak akan melindungi saya?” Laju aku bertanya. Dia melepaskan tawa kecil, menganggap soalan itu adalah lawak semata-mata.
“Kau siapa pada aku sampai aku nak melindungi kau? Lainlah kalau kau Donna aku. Tapi kau dengan aku tak ada apa-apa hubungan. Jadi, aku tak perlu melindungi kau.”
Jawapannya membuatkan lidah aku terkelu. Sepatah kata pun aku tidak mampu ucapkan. Betul juga katanya itu. Mengapa dia hendak melindungi perempuan asing sepertiku? Kami bertemu pun secara kebetulan sahaja.
Tetapi aku masih tertanya-tanya. Apakah maksud Donna yang disebutnya itu? Adakah Donna satu gelaran kekasih kepada ketua mafia? Aku tidak tahu apa-apa mengenai dunia mafia dan hari ini aku telah melibatkan diri aku dalam permainan organisasi kejam ini. Aku benar-benar ingin menangis mengenangkan nasib sendiri. Aduhai, malang benar nasibku ini. Sudahlah kematian ibu bapa dan adik beradik yang lain, kini aku menjadi sasaran geng mafia. 
“Aku takkan ada Donna kerana aku dah tinggalkan kumpulan tu. Jadi, aku tak perlu lindungi sesiapa termasuk kau.”
“Perlu ke awak ulang cakap benda yang sama? Ya, awak tak perlu melindungi saya sebab saya yang bodoh pergi tolong awak. Kalau saya tahu awak pun kejam macam dia orang semua, memang saya biarkan aje awak di situ. Mati pun mati la. Saya tak perlu kisah pasal orang asing macam awak. Tapi …” Ayatku tergantung kerana aku sendiri tidak pasti mengapa aku beria-ia mahu menolongnya.
“Tapi kau mudah bersimpati pada orang lain. Itu masalahnya.” Dia menyambung ayatku. Hatiku mengakui kebenaran kata-katanya itu.
“Salahkah kalau saya ada sikap macam tu? Apa awak tak ada rasa kasihan pada orang lain termasuk keluarga awak sendiri? Kalau awak jadi saya, apa yang awak akan buat bila awak nampak orang kena pukul depan mata awak sendiri? Awak akan tengok aje dan takkan buat apa-apa?” Aku menyoal bertubi-tubi.
Dia tersenyum senget. Tidak menjawab pertanyaanku, dia berlalu pergi dengan kaki terhincut-hincut. Aku perhatikan susuk tubuhnya yang menjauh sehinggalah dia tiba di sisi kereta mewah yang tersadai. Kereta itu mewah dia punyakah? Jadi, dia tidak bergurau langsung mengenai statusnya sebagai bekas ketua mafia.
Mataku beralih pada pacuan empat rodanya. Keretanya melintasi aku. Saat itu, dia menurunkan cermin kereta. Dia menghantar pandangan ke arahku. Namun, aku tidak mampu mengesan apa-apa riak dari wajahnya itu.
Ah, mengapa aku harus diuji begini?

SEJAK kejadian seminggu yang lalu, aku tidak senang duduk memikirkan kata-katanya. Menurutnya, konco-konconya mungkin akan datang mencari aku. Secara logiknya, aku tidak perlu berasa takut dengan mereka semua. Namun, aku tetap merasakan perasaan itu memandangkan mereka bukanlah orang biasa. Mereka terlibat dengan organisasi gelap di Itali. Organisasi yang menggerunkan orang ramai kerana mereka tidak akan pernah ada belas kasihan atau simpati kepada sesiapa.
Apalah nasibku dipertemukan dengan bekas ketua mafia dan juga konco-konconya. Ke mana lagi aku harus lari? Mereka akan tetap mencari aku sehingga ke pelosok dunia. Nampaknya hidup aku sudah dipasung oleh bayangan-bayangan mereka yang akan menjejaki aku.
“Nat, kenapa diam aje ni? Mak su nak pergi pasar kejap lagi. Nak ikut ke tak ni?”Mak su menyapaku saat aku sedang melayan lamunan di ruang tamu. Dek tegurannya, aku terpisat-pisat. Mataku terus mencari wajah mak su.
“Apa dia, mak su?”
Mak su menggelengkan kepala. “Mak su tanya Nat nak ikut mak su ke pasar tak hari ini?” Dia mengulang semula pertanyaannya.
Aku cepat-cepat mengangguk, bersetuju dengan ajakan mak su. Dalam keadaan ini, aku memang tidak sanggup duduk di rumah bersendirian. Siapa tahu kalau geng mafia itu datang mencari saat aku keseorangan?
“Dah tu? Pergi la siap.” Mak su menggesaku. Aku menurut tanpa bantahan. Langkah kaki kuatur ke arah bilik tidur. Sebenarnya aku malas hendak mengikut mak su aku ke pasar. Masalahnya aku takut untuk ditinggalkan seorang diri di rumah. Daripada aku sibuk memikirkan geng mafia itu, lebih baik aku berjaga-jaga.
Aku memilih untuk menggunakan shawl segera. Senang sangat. Hanya tinggal hendak belit ke kepala saja. Tidak payah guna pin banyak-banyak.
“Dah siap dah?”
Sewaktu aku membuka pintu, mak su sudah terpacak di depan muka pintu. Aku mengangguk. Sekilas aku melihat penampilan mak su. Mak su aku memang lawa orangnya. Pandai bergaya. Tak macam aku yang langsung tiada pengetahuan mengenai fesyen. Sayangnya, sampai sekarang mak su aku tak kahwin lain setelah kematian suaminya lima tahun yang lalu. Arwah suaminya membawa pergi satu-satunya anak mereka.
Kasih sayang mak su terhadap arwah suaminya membuatkan aku kagum. Dia sangat setia pada arwah suaminya. Langsung tidak terfikir untuk mencari pengganti. Padahal aku tahu benar dia kesunyian tetapi dia sengaja tidak mahu menunjukkannya di hadapan aku. Pada perkiraanku, dia tidak mahu aku risaukan dia.
Bukanlah aku ingin mendesak dia mencari pengganti. Sekiranya dia memerlukan teman untuk berkongsi, tidak salah rasanya jika dia memberi peluang kepada dirinya untuk jatuh cinta sekali lagi. Masa yang telah berlalu tidak mampu diputar kembali. Apa yang dihadapi sekarang tidak akan sama dengan apa yang akan berlaku pada masa depan kerana kita tidak mampu meneka setiap perancangan-Nya.
“Cantik mak su hari ni.” Aku mengeluarkan pujian. Mak su menyambut pujianku dengan senyuman manis di bibir. Dia menampar lembut bahuku.
“Tak ada cantiknya, Nat. Nat lagi cantik. Masih anak dara kan.” Mak su mengenyitkan mata ke arahku.
Aku tersipu-sipu. Mak su ni memang … Suka sangat mengenakan aku.

MEMANDANGKAN aku tidak pandai memandu, mak su yang memandu. Kami tiba di pasar sepuluh minit kemudiannya kerana jarak rumah dengan pasar tidaklah jauh mana. Mak su memarkirkan keretanya di tempat letak kereta kemudian menapak keluar. Aku turut melakukan perkara yang sama.
“Nat ada nak beli apa-apa?” Mak su mengajukan soalan. Dia melirik ke arahku.
Aku gelengkan kepala. Tidak terlintas pula hendak beli apa-apa. Aku datang pun kerana aku mahu menemani mak su sahaja atau paling tepat, aku takut.
“Kalau Nat nak beli apa-apa, pergi aje la. Nanti mak su telefon Nat kita nak jumpa kat mana.” Mak su memberi cadangan.
Aku menggoyangkan tangan. “Tak apa, mak su. Nat memang tak nak beli apa-apa. Nat temankan mak su aje la. Nanti boleh la Nat tolong bawakan barang-barang.”
Mak su tersenyum, tidak lagi bertanya apa-apa. Aku hanya mengekori langkahnya sahaja.
“Hari ni mak su nak masak apa?” Aku membuka topik perbualan.
“Mak su nak masak kari kepala ikan. Nat tolong mak su ya? Nanti mak su nak bagi sikit kat jiran kita. Hari tu dia ada bagi kita udang masak lemak. Kita kena la bagi sesuatu kat dia juga,” jawab mak su.
“Boleh, mak su. Nanti Nat tolong mak su.”
Kami berjalan di sekitar pasar. Mencari lauk dan sayur yang bakal dijadikan juadah untuk tengahari nanti. Aku tidak lupa membeli tomato dan lemon kerana penjagaan wajahku hanya menggunakan dua bahan itu. Bukan aku tidak mempercayai produk kecantikan yang ada di pasaran namun aku lebih sukakan sesuatu yang semulajadi. Tambahan pula, aku bukannya bergaji besar. Berapa sangatlah yang aku dapat daripada hasil mengajar budak-budak sekolah rendah. Walaupun aku juga menulis secara sambilan, aku perlu pandai menguruskan kewangan aku. Takkanlah aku hendak mengharapkan mak su semata-mata? Dia dah menjaga aku sejak aku berumur 9 tahun lagi. Dia yang menjadi ‘ibu’ kepadaku. Suatu hari nanti, aku juga mahu membalas jasanya yang membesarkan aku.
“Mak su rasa dah cukup kut barang yang kita beli ni. Nat nak apa-apa lagi tak?”
Aku pandang beg plastik yang berada di tanganku. Penuh dengan isi. Bukan satu tangan saja malah kedua-dua tangan aku penuh dengan barangan. Stok untuk dua tiga hari.
“Dah cukup kut ni, mak su.”
“Kalau macam tu, jom la balik.”
Aku membuntuti langkah mak su. Sekilas, aku menoleh ke belakang. Entah kenapa aku merasakan ada seseorang yang sedang mengintip pergerakanku.
Kosong. Tiada sesiapa. Mungkin mainan perasaanku saja.

No comments:

Post a Comment