Iman di Dada

Iman di Dada
Biar cintaNya beralun di segenap urat nadi

Monday 21 January 2019

ALEZ NATALIA BAB 1

USAI mengajar subjek Matematik kepada pelajar-pelajar yang mengikuti kelas tuisyenku, aku bersedia untuk menutup pintu. Tetapi, mataku tertancap pada Aina, salah seorang pelajarku yang tidak berganjak dari pagar rumah. Aku dan ibu saudaraku mengusahakan pusat tuisyen di rumah untuk memudahkan kami. Dulu ibu saudaraku yang mengajar pelajar-pelajar di sini. Semenjak aku mengambil alih tugasnya, akulah yang menjadi tenaga pengajar. Bukan aku tidak ingin mencari pekerjaan lain tetapi aku lebih suka berkecimpung dalam pendidikan. Hajat di hati mahu menjadi guru tetapi sebaik tamatnya Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (SPTM), aku terpaksa menolong ibu saudaraku.
Kehidupan ibu saudaraku sendiri bukannya senang. Dan aku ingin menolongnya. Disebabkan itulah aku menggantikan tempatnya di pusat tuisyen ini. Aku ingin membalas budi baiknya.
Aku menyarungkan selipar jepun sebelum bergerak ke arah pagar. Aina masih berdiri tegak di depan pagar, langsung tidak menyedari kehadiranku di belakangnya. Aku menyapa bahunya menyebabkan dia terus menoleh.
“Aina, kenapa tak balik lagi?” Aku cuba bertanya.
Aina tidak terus menjawab pertanyaanku. Dia memuncungkan bibir. Wajahnya kelihatan tidak gembira.
“Mana ayah Aina?” Aku bertanya lagi apabila aku teringatkan sesuatu. Setahu aku Aina selalunya dijemput oleh ayahnya. Tetapi kali ini aku tidak nampak kelibat Encik Fakhrul. Takkanlah dia lupa pula?
“Ayah dah lupakan Aina.” Aina menjawab perlahan. Tiba-tiba dia menangis di hadapanku. Aku tergamam dengan tindakannya itu. Lantas aku paut kedua-dua bahunya, memaksa dia menentang aku.
“Aina ada masalah dengan ayah Aina?”
“Dia dah tak sayangkan Aina. Dia tak balik ke rumah semalam. Aina telefon dia, perempuan yang jawab.”
Aku terkedu. Kejam betul Encik Fakhrul. Sanggup meninggalkan anak perempuannya bersendirian di rumah hanya kerana seorang perempuan? Kalau aku jadi mak kepada Aina, dah lama aku tuntut hak penjagaan Aina. Mak Aina pula satu. Kenapa dia tidak memperjuangkan haknya sebagai ibu?
“Habis tu Aina nak balik dengan apa ni?”
Dia menjungkit bahu. Patutlah. Ayah dia lupa untuk jemput dia.
“Kak Nat hantarkan Aina ya? Tapi kita naik teksi ya? Kak Nat tak ada kereta.” Aku menawarkan pertolongan. Tidak salah aku menghantar dia ke rumah. Kalau aku biarkan dia balik bersendirian, bahaya pula. Bermacam-macam jenayah yang berlaku pada zaman sekarang. Yang tular adalah penculikan kanak-kanak untuk kegiatan menjual organ. Baru-baru ini anak jiran sebelah rumah diculik dengan tujuan itu namun nasib baik pihak polis sempat mengesan lokasi kanak-kanak itu.
Aina mengangguk. Aku tahu dia juga sudah tiada pilihan lain melainkan menerima pertolonganku.
“Kejap. Kak Nat nak ambil purse.”
Aku cepat-cepat berlari anak masuk ke dalam rumah, mencapai apa yang patut. Dalam masa yang sama aku mendail nombor teksi. Setelah itu, aku mendapatkan Aina yang sedang menunggu aku.
“Teksi sampai kejap lagi,” maklumku.
Hampir lima minit menunggu, teksi yang aku telefon tadi telah tiba. Aku dan Aina membolos masuk ke dalam perut teksi.

AINA melambaikan tangannya ke arahku. Aku membalas lambaiannya dengan senyuman. Kasihan sekali Aina. Aku bersimpati dengan apa yang dilaluinya. Mungkin kerana aku juga mengalami perkara yang sama. Bezanya aku mengalami kehilangan untuk selama-lamanya.
“Kenapa dengan budak tu?” Pak Mahad bertanya. Dia memang peramah orangnya. Ibu saudaraku sudah biasa menggunakan perkhidmatan Pak Mahad. Aku juga menjadi rapat dengan Pak Mahad.
“Entah la, pak cik. Ayahnya keluar dengan perempuan lain tapi boleh pula lupa anak sendiri? Ish. Geram pula saya.” Aku mengadu.
“Mak dia tak nak ambil budak tu ke? Kalau pak cik jadi mak dia, pak cik ambil budak tu. Buat apa biarkan dia tinggal dengan ayah yang tak ambil berat pasal dia?” Pak Mahad meluahkan pendapat. Pendapatnya memang sama denganku. Aku pun hairan. Kenapalah mak kepada Aina senang-senang saja bagi anak perempuan dia pada bekas suaminya? Kalau aku jadi dialah, aku sanggup turun naik mahkamah semata-mata untuk menang hak penjagaan. Ibu mana yang tak sayangkan anak? Tapi yang sanggup buang bayi sendiri tu aku tak fahamlah kenapa mereka buat perkara itu. Kalau tak nak anak, bagi sajalah pada sesiapa. Kasihan bayi yang tidak berdosa.
“Mak dia pun tak nak dia, habis siapa nak dia? Kesiankan budak aje. Itu la. Orang ada anak, dia pun nak ada anak. Jaga anak tak reti pula,” omel Pak Mahad dan aku yang mendengar hanya mengiakan sahaja. Dah memang betul apa yang dikatakannya itu. Ingat senang ke nak jadi ibu bapa?
“Ni nak balik rumah terus ke?”
Aku mengerling jam di tangan. “Balik terus la, pak cik. Dah nak masuk waktu Asar ni.”
Pak Mahad tidak lagi bertanya. Fokusnya pada pemanduan bagi memastikan aku pulang ke rumah dengan selamat.

SETIBANYA di rumah, aku membayar tambang kemudian melangkah keluar dari teksi Pak Mahad itu. Pak Mahad mengangkat tangan sebelum memandu pergi. Aku membalikkan tubuh, bersedia untuk menapak masuk melalui pagar utama. Namun, langkahku mati serta-merta apabila aku terpandangkan kereta mewah yang tersadai tidak jauh dari rumah ibu saudaraku. Pintu kereta terbuka. Aku memanjangkan leher. Tiada orang pula.
Dirasuk perasaan ingin tahu yang menebal, aku melangkah ke arah kereta mewah itu dengan berhati-hati. Kosong. Enjin juga sudah mati. Mata aku tercari-cari pemiliknya.
Saat itu juga telinga aku dikejutkan dengan suara orang. Aku kalihkan pandanganku ke arah semak di seberang jalan.
“Ah!” Aku menekup mulut daripada mengeluarkan suara walaupun aku sudah pun menjerit tanpa sedar. Mungkin kerana terkejut dengan jeritan aku, beberapa orang keluar dari semak. Lagilah aku menggelebah apabila mereka menarik keluar sebatang tubuh yang lembik.
“Lepaskan dia.” Entah dari mana datangnya keberanian aku, aku meminta lelaki itu dilepaskan.
“Kau siapa?” Salah seorang bertanya dalam bahasa asing. Aku terpinga-pinga seketika. Bahasa apa pula dia cakap ni? Sepatah haram pun aku tak faham.
“Who are you?” Akhirnya lelaki bersut hitam dengan kaca mata hitam itu bertanya dalam bahasa Inggeris. Barulah aku faham. Tadi cakap bahasa apa entah, manalah aku nak faham.
“Then, who are you?” Aku bertanya balik. Lelaki itu mencerun tajam ke arahku. Dia sudah bersedia maju ke arahku. Aku mundur beberapa tapak.
“Don’t get close or I’ll call the police.” Aku memberi amaran. Kalau mereka tetap berdegil hendak mengapa-apakan aku, aku tidak teragak-agak untuk menjerit meminta tolong. Dalam pada itu aku menggagau telefon dari dalam tas tanganku. Dengan terketar-ketar aku menekan nombor pada skrin.
“Give me the phone.”
“No. Let him go.” Aku berkeras untuk tidak pada arahannya. Siapa dia hendak takutkan aku?
“Don’t be stubborn.”
“I’ll call the police now.”
Aku menayangkan telefon di tanganku. “I’ve called them.”
Mungkin mereka tidak termakan dengan pembohonganku kerana mereka masih tidak berganjak dari tempat mereka. Aku merengus perlahan. Eh, bangsa asing ni memang sengaja nak buat kacau kat sini. Satu-persatu wajah yang aku perhatikan langsung tiada orang tempatan. Dari mana datangnya orang ni semua? Siapa bersut hitam bagai? Semuanya tinggi lampai dan berotot.
“You! You will pay for this!”
Lelaki itu menudingkan jari ke arahku. Perut aku menjadi kecut dengan tiba-tiba. Memandai saja aku berhadapan dengan bangsa asing ini. Kalau dia cari aku lepas ni, memang matilah aku jawabnya.
“Polis!” Aku menjerit. Mereka cepat-cepat beredar dari situ. SUV hitam di hujung jalan sudah bergerak pergi.
Tahu takut. Aku mencemik. Dahlah buat kacau di negara orang. Aku memberanikan diri mendekati tubuh yang ditinggalkan di seberang jalan. Dari jauh aku dah dapat agak bukan orang Melayu. Bila dah tengok dari dekat, aku yakin dia memang bukan bangsa Melayu. Macam orang Latin saja. Di bahagian tengkuknya terdapat tatu tetapi aku tidak tahu apa coraknya.
“Awak okey?” Aku melontarkan soalan.
Dia membuka mata dan memandang aku dengan mata birunya. Alahai, hensem gila mamat ni.
“Kau siapa?”
Eh? Dia tahu berbahasa Melayu?
“Saya bukan sesiapa pun. Saya nampak awak kena belasah lepas dia orang tarik-tarik awak macam awak ni lembu. Awak okey tak?”
“Kau memang cari nahas.” Suaranya seperti mengguman tetapi aku masih mampu menangkap apa yang terlontar keluar dari mulutnya.
Aku dah tolong dia, boleh pula dia cakap aku cari nahas? Tidak boleh ke dia ucapkan terima kasih padaku yang menolongnya? Kalau aku tak tolong tadi, mahu jadi mayat dia jawabnya. Takkanlah aku nak membiarkan dia dipukul di depan mata aku sendiri? Aku punya perikemanusiaan. Selagi aku mampu tolong, aku tolonglah. Mamat ni memang tak reti menghargai langsung.
“Tak boleh ke awak ucap terima kasih? Mahal sangat ke perkataan tu?” Aku menyindir dia. Dia menjeling aku.
“Aku tak nak terhutang budi pada kau.”
“Saya tak minta budi saya dibalas,” pangkahku. Dia mencerlang tajam ke arahku. Dalam keadaan lemah, pandangan matanya masih tajam.
Aku memerhatikan dia yang sudah bangkit dengan bersusah payah. Dia memegang pinggang. Sakitlah tu.
“Aku tak suka berhutang dengan orang. Kau ni memang nak menyusahkan aku kan?”
“Awak ni kenapa? Saya tolong awak marah. Takkanlah awak nak saya biarkan awak macam tu aje? Nak mati sangat ke?” Aku pula menjadi geram dengan sikap lelaki ini. Tak pasal-pasal aku mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya. Padan muka. Kalau rasa nak mati sangat, kenapa tak berdiri kat tengah jalan biar kena langgar kereta? Astaghfirullah. Aku beristighfar. Ada ke patut aku mendoakan begitu?
Dia memandang aku dengan tajam bagaikan mahu menelan aku hidup-hidup. Jantung sudah berdegup kencang, risau dengan apa yang akan dilakukan terhadap aku. Apabila dia mara ke arahku, aku tidak mampu lari. Kaki ini seperti sudah digam pada tanah.
Satu detik.
Dua detik.
Tiga detik.
Aku memejamkan mata rapat-rapat. Aku fikir dia akan menaikkan tangannya pada mana-mana bahagian tubuhku sebaliknya aku merasakan hembusan pada wajahku. Hembusan itu terlalu dekat. Automatik aku membuka mata. Kedudukan kami begitu dekat. Hanya tiga inci sahaja. Mata aku bertemu dengan dadanya. Aku menelan air liur, memaksa diri untuk mendongak memandangkan dia berketinggian enam kaki sedangkan aku ini macam ayam serama.
“Kau tak tahu dengan siapa kau bercakap sekarang ni.” Ayat itu melantun masuk ke dalam telinga.
“Huh?” Mataku bulat.
Dia masih merenungku. Aku jadi tidak sedap hati apabila direnung sebegitu. Tangan aku sudah naik ke atas, mahu menolak dadanya. Namun, dia terlebih dahulu menjarakkan diri daripadaku.
“Kenapa kau telefon polis? Dia orang akan cari kau.”
Aku terdiam. Dah tu takkanlah aku nak biarkan saja?

No comments:

Post a Comment