Iman di Dada

Iman di Dada
Biar cintaNya beralun di segenap urat nadi

Monday 21 January 2019

ALEZ NATALIA BAB 2

“KALAU jadi apa-apa, jangan salahkan aku.” Suaranya seperti mahu menakutkan aku. Namun, aku masih mampu menayang riak selamba di hadapannya. Apa yang perlu ditakutkan pada manusia? Kita semua ciptaan Allah s.w.t. Tiada siapa yang dapat melawan kuasa-Nya.
“Nak jadi apanya? Takkan jadi apa-apa la.” Aku menolak jauh-jauh andaian yang bermain di fikiranku. Lelaki ini saja hendak takutkan aku. Kalau dia fikir aku ni penakut besar, dia memang silap.
“Kau terlalu yakin. Aku cakap sebab aku nak kau berhati-hati. Kau jangan bermain dengan nyawa, little girl.” Nada suaranya masih sama. Masih serius menandakan dia tidak bergurau.
Aku sedikit terpempan dengan gelaran yang diberikannya kepadaku itu. Little girl? Siapa budak kecil di sini? Aku dah masuk 21 tahun kut. Masih layakkah dipanggil budak? Mentang-mentanglah ketinggian aku ini tidak seberapa, dia menjadikannya sebagai bahan jenaka.
“Awak siapa sebenarnya? Penjenayah?” Aku menjegilkan mata, memberanikan diri untuk bertanya. Perkataan ‘penjenayah’ itu tidak terkesan langsung padanya. Dia hanya memandang aku tanpa riak. Mungkin dia merasakan dia superior.
“Kalau aku cakap ya, kau nak buat apa?”
Bibirku merapat sendiri. Siapa penjenayah? Dia? Penjenayah yang membiarkan dirinya dipukul? Rasa kelakar pula apabila difikirkan balik. Kalau dia penjenayah, takkanlah dia rela dibelasah begitu sekali? Kenapa dia tidak melawan?
“Dia orang cari kau nanti, pandai-pandai la kau selamatkan diri. Kau nak tahu tak siapa dia orang tadi?” Keningnya naik.
Aku mendengus halus. Lantaklah siapa orang-orang tadi. Aku bukan gertak dia orang pun. Aku sekadar mengugut dengan menipu untuk selamatkan lelaki ini. Bukan untuk tujuan lain.
“Kau nak tahu siapa aku?” Dia menyeluk kedua-dua tangan ke dalam poket seluar, menantikan responku.
Aku melangut ke atas. Dalam masa yang sama diri ini sedang mencari jawapan kepada soalannya. Siapa dia? Mengapa aku perlu tahu identiti dia? Penting sangatkah identiti dia itu?
“Aku Alez Bernardino. Bekas ketua mafia Itali. Dan yang tadi tu anak-anak buah aku.” Tanpa segan silu dia memperkenalkan diri.
Aku tergemap dengan mulut terlopong. Membatu bagaikan patung. Mafia? Ketua mafia? Itali? Otakku cuba mencerna. Bekas ketua mafia Itali? Maknanya lelaki ini ada kaitan dengan lelaki-lelaki bersut hitam tadi. Mungkin disebabkan itulah dia tidak melawan apabila dibelasah dengan kejam. Tangan aku mulai kedinginan. Hatiku berdetak dengan laju. Aku melibatkan diri aku sendiri dengan dunia mafia!
“Kenapa kau diam? Terkejut? Kan aku dah cakap kau sengaja cari nahas. Patutnya kau tak masuk campur. Kau tak tolong aku pun aku masih mampu melindungi diri aku.”
“Tapi … saya …” Aku tergagap-gagap, gagal menyusun ayat lengkap. Cara dia bercakap seolah-olah dia menyalahkan aku seratus peratus. Padahal aku sendiri tidak meminta semua ini terjadi. Kalau aku tahu dia bekas ketua mafia, aku memang tidak akan menolong dia. Menyesal pun tiada gunanya. Benda dah berlaku dan akibatnya akulah yang harus tanggung.
“Tapi apanya? Kau memang dah libatkan diri kau dengan kerelaan hati kau. Aku tak minta tolong kau pun.” Dia berkata selamba, berterusan mempersalahkan aku kerana masuk campur.
“Apa yang akan berlaku pada saya? Awak akan bunuh saya? Anak-anak buah awak akan cari saya?” Aku sudah tahu apa jawapannya tetapi masih gatal hendak bertanya.
“Bunuh kau? Aku tak ada motif untuk bunuh aku. Kau bukan musuh aku. Aku takkan perangi kau. Lagipun aku dah tinggalkan semua tu.” Jawapannya membuatkan aku sedikit lega tetapi rasa takut masih ada.
“Habis tu awak akan melindungi saya?” Laju aku bertanya. Dia melepaskan tawa kecil, menganggap soalan itu adalah lawak semata-mata.
“Kau siapa pada aku sampai aku nak melindungi kau? Lainlah kalau kau Donna aku. Tapi kau dengan aku tak ada apa-apa hubungan. Jadi, aku tak perlu melindungi kau.”
Jawapannya membuatkan lidah aku terkelu. Sepatah kata pun aku tidak mampu ucapkan. Betul juga katanya itu. Mengapa dia hendak melindungi perempuan asing sepertiku? Kami bertemu pun secara kebetulan sahaja.
Tetapi aku masih tertanya-tanya. Apakah maksud Donna yang disebutnya itu? Adakah Donna satu gelaran kekasih kepada ketua mafia? Aku tidak tahu apa-apa mengenai dunia mafia dan hari ini aku telah melibatkan diri aku dalam permainan organisasi kejam ini. Aku benar-benar ingin menangis mengenangkan nasib sendiri. Aduhai, malang benar nasibku ini. Sudahlah kematian ibu bapa dan adik beradik yang lain, kini aku menjadi sasaran geng mafia. 
“Aku takkan ada Donna kerana aku dah tinggalkan kumpulan tu. Jadi, aku tak perlu lindungi sesiapa termasuk kau.”
“Perlu ke awak ulang cakap benda yang sama? Ya, awak tak perlu melindungi saya sebab saya yang bodoh pergi tolong awak. Kalau saya tahu awak pun kejam macam dia orang semua, memang saya biarkan aje awak di situ. Mati pun mati la. Saya tak perlu kisah pasal orang asing macam awak. Tapi …” Ayatku tergantung kerana aku sendiri tidak pasti mengapa aku beria-ia mahu menolongnya.
“Tapi kau mudah bersimpati pada orang lain. Itu masalahnya.” Dia menyambung ayatku. Hatiku mengakui kebenaran kata-katanya itu.
“Salahkah kalau saya ada sikap macam tu? Apa awak tak ada rasa kasihan pada orang lain termasuk keluarga awak sendiri? Kalau awak jadi saya, apa yang awak akan buat bila awak nampak orang kena pukul depan mata awak sendiri? Awak akan tengok aje dan takkan buat apa-apa?” Aku menyoal bertubi-tubi.
Dia tersenyum senget. Tidak menjawab pertanyaanku, dia berlalu pergi dengan kaki terhincut-hincut. Aku perhatikan susuk tubuhnya yang menjauh sehinggalah dia tiba di sisi kereta mewah yang tersadai. Kereta itu mewah dia punyakah? Jadi, dia tidak bergurau langsung mengenai statusnya sebagai bekas ketua mafia.
Mataku beralih pada pacuan empat rodanya. Keretanya melintasi aku. Saat itu, dia menurunkan cermin kereta. Dia menghantar pandangan ke arahku. Namun, aku tidak mampu mengesan apa-apa riak dari wajahnya itu.
Ah, mengapa aku harus diuji begini?

SEJAK kejadian seminggu yang lalu, aku tidak senang duduk memikirkan kata-katanya. Menurutnya, konco-konconya mungkin akan datang mencari aku. Secara logiknya, aku tidak perlu berasa takut dengan mereka semua. Namun, aku tetap merasakan perasaan itu memandangkan mereka bukanlah orang biasa. Mereka terlibat dengan organisasi gelap di Itali. Organisasi yang menggerunkan orang ramai kerana mereka tidak akan pernah ada belas kasihan atau simpati kepada sesiapa.
Apalah nasibku dipertemukan dengan bekas ketua mafia dan juga konco-konconya. Ke mana lagi aku harus lari? Mereka akan tetap mencari aku sehingga ke pelosok dunia. Nampaknya hidup aku sudah dipasung oleh bayangan-bayangan mereka yang akan menjejaki aku.
“Nat, kenapa diam aje ni? Mak su nak pergi pasar kejap lagi. Nak ikut ke tak ni?”Mak su menyapaku saat aku sedang melayan lamunan di ruang tamu. Dek tegurannya, aku terpisat-pisat. Mataku terus mencari wajah mak su.
“Apa dia, mak su?”
Mak su menggelengkan kepala. “Mak su tanya Nat nak ikut mak su ke pasar tak hari ini?” Dia mengulang semula pertanyaannya.
Aku cepat-cepat mengangguk, bersetuju dengan ajakan mak su. Dalam keadaan ini, aku memang tidak sanggup duduk di rumah bersendirian. Siapa tahu kalau geng mafia itu datang mencari saat aku keseorangan?
“Dah tu? Pergi la siap.” Mak su menggesaku. Aku menurut tanpa bantahan. Langkah kaki kuatur ke arah bilik tidur. Sebenarnya aku malas hendak mengikut mak su aku ke pasar. Masalahnya aku takut untuk ditinggalkan seorang diri di rumah. Daripada aku sibuk memikirkan geng mafia itu, lebih baik aku berjaga-jaga.
Aku memilih untuk menggunakan shawl segera. Senang sangat. Hanya tinggal hendak belit ke kepala saja. Tidak payah guna pin banyak-banyak.
“Dah siap dah?”
Sewaktu aku membuka pintu, mak su sudah terpacak di depan muka pintu. Aku mengangguk. Sekilas aku melihat penampilan mak su. Mak su aku memang lawa orangnya. Pandai bergaya. Tak macam aku yang langsung tiada pengetahuan mengenai fesyen. Sayangnya, sampai sekarang mak su aku tak kahwin lain setelah kematian suaminya lima tahun yang lalu. Arwah suaminya membawa pergi satu-satunya anak mereka.
Kasih sayang mak su terhadap arwah suaminya membuatkan aku kagum. Dia sangat setia pada arwah suaminya. Langsung tidak terfikir untuk mencari pengganti. Padahal aku tahu benar dia kesunyian tetapi dia sengaja tidak mahu menunjukkannya di hadapan aku. Pada perkiraanku, dia tidak mahu aku risaukan dia.
Bukanlah aku ingin mendesak dia mencari pengganti. Sekiranya dia memerlukan teman untuk berkongsi, tidak salah rasanya jika dia memberi peluang kepada dirinya untuk jatuh cinta sekali lagi. Masa yang telah berlalu tidak mampu diputar kembali. Apa yang dihadapi sekarang tidak akan sama dengan apa yang akan berlaku pada masa depan kerana kita tidak mampu meneka setiap perancangan-Nya.
“Cantik mak su hari ni.” Aku mengeluarkan pujian. Mak su menyambut pujianku dengan senyuman manis di bibir. Dia menampar lembut bahuku.
“Tak ada cantiknya, Nat. Nat lagi cantik. Masih anak dara kan.” Mak su mengenyitkan mata ke arahku.
Aku tersipu-sipu. Mak su ni memang … Suka sangat mengenakan aku.

MEMANDANGKAN aku tidak pandai memandu, mak su yang memandu. Kami tiba di pasar sepuluh minit kemudiannya kerana jarak rumah dengan pasar tidaklah jauh mana. Mak su memarkirkan keretanya di tempat letak kereta kemudian menapak keluar. Aku turut melakukan perkara yang sama.
“Nat ada nak beli apa-apa?” Mak su mengajukan soalan. Dia melirik ke arahku.
Aku gelengkan kepala. Tidak terlintas pula hendak beli apa-apa. Aku datang pun kerana aku mahu menemani mak su sahaja atau paling tepat, aku takut.
“Kalau Nat nak beli apa-apa, pergi aje la. Nanti mak su telefon Nat kita nak jumpa kat mana.” Mak su memberi cadangan.
Aku menggoyangkan tangan. “Tak apa, mak su. Nat memang tak nak beli apa-apa. Nat temankan mak su aje la. Nanti boleh la Nat tolong bawakan barang-barang.”
Mak su tersenyum, tidak lagi bertanya apa-apa. Aku hanya mengekori langkahnya sahaja.
“Hari ni mak su nak masak apa?” Aku membuka topik perbualan.
“Mak su nak masak kari kepala ikan. Nat tolong mak su ya? Nanti mak su nak bagi sikit kat jiran kita. Hari tu dia ada bagi kita udang masak lemak. Kita kena la bagi sesuatu kat dia juga,” jawab mak su.
“Boleh, mak su. Nanti Nat tolong mak su.”
Kami berjalan di sekitar pasar. Mencari lauk dan sayur yang bakal dijadikan juadah untuk tengahari nanti. Aku tidak lupa membeli tomato dan lemon kerana penjagaan wajahku hanya menggunakan dua bahan itu. Bukan aku tidak mempercayai produk kecantikan yang ada di pasaran namun aku lebih sukakan sesuatu yang semulajadi. Tambahan pula, aku bukannya bergaji besar. Berapa sangatlah yang aku dapat daripada hasil mengajar budak-budak sekolah rendah. Walaupun aku juga menulis secara sambilan, aku perlu pandai menguruskan kewangan aku. Takkanlah aku hendak mengharapkan mak su semata-mata? Dia dah menjaga aku sejak aku berumur 9 tahun lagi. Dia yang menjadi ‘ibu’ kepadaku. Suatu hari nanti, aku juga mahu membalas jasanya yang membesarkan aku.
“Mak su rasa dah cukup kut barang yang kita beli ni. Nat nak apa-apa lagi tak?”
Aku pandang beg plastik yang berada di tanganku. Penuh dengan isi. Bukan satu tangan saja malah kedua-dua tangan aku penuh dengan barangan. Stok untuk dua tiga hari.
“Dah cukup kut ni, mak su.”
“Kalau macam tu, jom la balik.”
Aku membuntuti langkah mak su. Sekilas, aku menoleh ke belakang. Entah kenapa aku merasakan ada seseorang yang sedang mengintip pergerakanku.
Kosong. Tiada sesiapa. Mungkin mainan perasaanku saja.

ALEZ NATALIA BAB 1

USAI mengajar subjek Matematik kepada pelajar-pelajar yang mengikuti kelas tuisyenku, aku bersedia untuk menutup pintu. Tetapi, mataku tertancap pada Aina, salah seorang pelajarku yang tidak berganjak dari pagar rumah. Aku dan ibu saudaraku mengusahakan pusat tuisyen di rumah untuk memudahkan kami. Dulu ibu saudaraku yang mengajar pelajar-pelajar di sini. Semenjak aku mengambil alih tugasnya, akulah yang menjadi tenaga pengajar. Bukan aku tidak ingin mencari pekerjaan lain tetapi aku lebih suka berkecimpung dalam pendidikan. Hajat di hati mahu menjadi guru tetapi sebaik tamatnya Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (SPTM), aku terpaksa menolong ibu saudaraku.
Kehidupan ibu saudaraku sendiri bukannya senang. Dan aku ingin menolongnya. Disebabkan itulah aku menggantikan tempatnya di pusat tuisyen ini. Aku ingin membalas budi baiknya.
Aku menyarungkan selipar jepun sebelum bergerak ke arah pagar. Aina masih berdiri tegak di depan pagar, langsung tidak menyedari kehadiranku di belakangnya. Aku menyapa bahunya menyebabkan dia terus menoleh.
“Aina, kenapa tak balik lagi?” Aku cuba bertanya.
Aina tidak terus menjawab pertanyaanku. Dia memuncungkan bibir. Wajahnya kelihatan tidak gembira.
“Mana ayah Aina?” Aku bertanya lagi apabila aku teringatkan sesuatu. Setahu aku Aina selalunya dijemput oleh ayahnya. Tetapi kali ini aku tidak nampak kelibat Encik Fakhrul. Takkanlah dia lupa pula?
“Ayah dah lupakan Aina.” Aina menjawab perlahan. Tiba-tiba dia menangis di hadapanku. Aku tergamam dengan tindakannya itu. Lantas aku paut kedua-dua bahunya, memaksa dia menentang aku.
“Aina ada masalah dengan ayah Aina?”
“Dia dah tak sayangkan Aina. Dia tak balik ke rumah semalam. Aina telefon dia, perempuan yang jawab.”
Aku terkedu. Kejam betul Encik Fakhrul. Sanggup meninggalkan anak perempuannya bersendirian di rumah hanya kerana seorang perempuan? Kalau aku jadi mak kepada Aina, dah lama aku tuntut hak penjagaan Aina. Mak Aina pula satu. Kenapa dia tidak memperjuangkan haknya sebagai ibu?
“Habis tu Aina nak balik dengan apa ni?”
Dia menjungkit bahu. Patutlah. Ayah dia lupa untuk jemput dia.
“Kak Nat hantarkan Aina ya? Tapi kita naik teksi ya? Kak Nat tak ada kereta.” Aku menawarkan pertolongan. Tidak salah aku menghantar dia ke rumah. Kalau aku biarkan dia balik bersendirian, bahaya pula. Bermacam-macam jenayah yang berlaku pada zaman sekarang. Yang tular adalah penculikan kanak-kanak untuk kegiatan menjual organ. Baru-baru ini anak jiran sebelah rumah diculik dengan tujuan itu namun nasib baik pihak polis sempat mengesan lokasi kanak-kanak itu.
Aina mengangguk. Aku tahu dia juga sudah tiada pilihan lain melainkan menerima pertolonganku.
“Kejap. Kak Nat nak ambil purse.”
Aku cepat-cepat berlari anak masuk ke dalam rumah, mencapai apa yang patut. Dalam masa yang sama aku mendail nombor teksi. Setelah itu, aku mendapatkan Aina yang sedang menunggu aku.
“Teksi sampai kejap lagi,” maklumku.
Hampir lima minit menunggu, teksi yang aku telefon tadi telah tiba. Aku dan Aina membolos masuk ke dalam perut teksi.

AINA melambaikan tangannya ke arahku. Aku membalas lambaiannya dengan senyuman. Kasihan sekali Aina. Aku bersimpati dengan apa yang dilaluinya. Mungkin kerana aku juga mengalami perkara yang sama. Bezanya aku mengalami kehilangan untuk selama-lamanya.
“Kenapa dengan budak tu?” Pak Mahad bertanya. Dia memang peramah orangnya. Ibu saudaraku sudah biasa menggunakan perkhidmatan Pak Mahad. Aku juga menjadi rapat dengan Pak Mahad.
“Entah la, pak cik. Ayahnya keluar dengan perempuan lain tapi boleh pula lupa anak sendiri? Ish. Geram pula saya.” Aku mengadu.
“Mak dia tak nak ambil budak tu ke? Kalau pak cik jadi mak dia, pak cik ambil budak tu. Buat apa biarkan dia tinggal dengan ayah yang tak ambil berat pasal dia?” Pak Mahad meluahkan pendapat. Pendapatnya memang sama denganku. Aku pun hairan. Kenapalah mak kepada Aina senang-senang saja bagi anak perempuan dia pada bekas suaminya? Kalau aku jadi dialah, aku sanggup turun naik mahkamah semata-mata untuk menang hak penjagaan. Ibu mana yang tak sayangkan anak? Tapi yang sanggup buang bayi sendiri tu aku tak fahamlah kenapa mereka buat perkara itu. Kalau tak nak anak, bagi sajalah pada sesiapa. Kasihan bayi yang tidak berdosa.
“Mak dia pun tak nak dia, habis siapa nak dia? Kesiankan budak aje. Itu la. Orang ada anak, dia pun nak ada anak. Jaga anak tak reti pula,” omel Pak Mahad dan aku yang mendengar hanya mengiakan sahaja. Dah memang betul apa yang dikatakannya itu. Ingat senang ke nak jadi ibu bapa?
“Ni nak balik rumah terus ke?”
Aku mengerling jam di tangan. “Balik terus la, pak cik. Dah nak masuk waktu Asar ni.”
Pak Mahad tidak lagi bertanya. Fokusnya pada pemanduan bagi memastikan aku pulang ke rumah dengan selamat.

SETIBANYA di rumah, aku membayar tambang kemudian melangkah keluar dari teksi Pak Mahad itu. Pak Mahad mengangkat tangan sebelum memandu pergi. Aku membalikkan tubuh, bersedia untuk menapak masuk melalui pagar utama. Namun, langkahku mati serta-merta apabila aku terpandangkan kereta mewah yang tersadai tidak jauh dari rumah ibu saudaraku. Pintu kereta terbuka. Aku memanjangkan leher. Tiada orang pula.
Dirasuk perasaan ingin tahu yang menebal, aku melangkah ke arah kereta mewah itu dengan berhati-hati. Kosong. Enjin juga sudah mati. Mata aku tercari-cari pemiliknya.
Saat itu juga telinga aku dikejutkan dengan suara orang. Aku kalihkan pandanganku ke arah semak di seberang jalan.
“Ah!” Aku menekup mulut daripada mengeluarkan suara walaupun aku sudah pun menjerit tanpa sedar. Mungkin kerana terkejut dengan jeritan aku, beberapa orang keluar dari semak. Lagilah aku menggelebah apabila mereka menarik keluar sebatang tubuh yang lembik.
“Lepaskan dia.” Entah dari mana datangnya keberanian aku, aku meminta lelaki itu dilepaskan.
“Kau siapa?” Salah seorang bertanya dalam bahasa asing. Aku terpinga-pinga seketika. Bahasa apa pula dia cakap ni? Sepatah haram pun aku tak faham.
“Who are you?” Akhirnya lelaki bersut hitam dengan kaca mata hitam itu bertanya dalam bahasa Inggeris. Barulah aku faham. Tadi cakap bahasa apa entah, manalah aku nak faham.
“Then, who are you?” Aku bertanya balik. Lelaki itu mencerun tajam ke arahku. Dia sudah bersedia maju ke arahku. Aku mundur beberapa tapak.
“Don’t get close or I’ll call the police.” Aku memberi amaran. Kalau mereka tetap berdegil hendak mengapa-apakan aku, aku tidak teragak-agak untuk menjerit meminta tolong. Dalam pada itu aku menggagau telefon dari dalam tas tanganku. Dengan terketar-ketar aku menekan nombor pada skrin.
“Give me the phone.”
“No. Let him go.” Aku berkeras untuk tidak pada arahannya. Siapa dia hendak takutkan aku?
“Don’t be stubborn.”
“I’ll call the police now.”
Aku menayangkan telefon di tanganku. “I’ve called them.”
Mungkin mereka tidak termakan dengan pembohonganku kerana mereka masih tidak berganjak dari tempat mereka. Aku merengus perlahan. Eh, bangsa asing ni memang sengaja nak buat kacau kat sini. Satu-persatu wajah yang aku perhatikan langsung tiada orang tempatan. Dari mana datangnya orang ni semua? Siapa bersut hitam bagai? Semuanya tinggi lampai dan berotot.
“You! You will pay for this!”
Lelaki itu menudingkan jari ke arahku. Perut aku menjadi kecut dengan tiba-tiba. Memandai saja aku berhadapan dengan bangsa asing ini. Kalau dia cari aku lepas ni, memang matilah aku jawabnya.
“Polis!” Aku menjerit. Mereka cepat-cepat beredar dari situ. SUV hitam di hujung jalan sudah bergerak pergi.
Tahu takut. Aku mencemik. Dahlah buat kacau di negara orang. Aku memberanikan diri mendekati tubuh yang ditinggalkan di seberang jalan. Dari jauh aku dah dapat agak bukan orang Melayu. Bila dah tengok dari dekat, aku yakin dia memang bukan bangsa Melayu. Macam orang Latin saja. Di bahagian tengkuknya terdapat tatu tetapi aku tidak tahu apa coraknya.
“Awak okey?” Aku melontarkan soalan.
Dia membuka mata dan memandang aku dengan mata birunya. Alahai, hensem gila mamat ni.
“Kau siapa?”
Eh? Dia tahu berbahasa Melayu?
“Saya bukan sesiapa pun. Saya nampak awak kena belasah lepas dia orang tarik-tarik awak macam awak ni lembu. Awak okey tak?”
“Kau memang cari nahas.” Suaranya seperti mengguman tetapi aku masih mampu menangkap apa yang terlontar keluar dari mulutnya.
Aku dah tolong dia, boleh pula dia cakap aku cari nahas? Tidak boleh ke dia ucapkan terima kasih padaku yang menolongnya? Kalau aku tak tolong tadi, mahu jadi mayat dia jawabnya. Takkanlah aku nak membiarkan dia dipukul di depan mata aku sendiri? Aku punya perikemanusiaan. Selagi aku mampu tolong, aku tolonglah. Mamat ni memang tak reti menghargai langsung.
“Tak boleh ke awak ucap terima kasih? Mahal sangat ke perkataan tu?” Aku menyindir dia. Dia menjeling aku.
“Aku tak nak terhutang budi pada kau.”
“Saya tak minta budi saya dibalas,” pangkahku. Dia mencerlang tajam ke arahku. Dalam keadaan lemah, pandangan matanya masih tajam.
Aku memerhatikan dia yang sudah bangkit dengan bersusah payah. Dia memegang pinggang. Sakitlah tu.
“Aku tak suka berhutang dengan orang. Kau ni memang nak menyusahkan aku kan?”
“Awak ni kenapa? Saya tolong awak marah. Takkanlah awak nak saya biarkan awak macam tu aje? Nak mati sangat ke?” Aku pula menjadi geram dengan sikap lelaki ini. Tak pasal-pasal aku mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya. Padan muka. Kalau rasa nak mati sangat, kenapa tak berdiri kat tengah jalan biar kena langgar kereta? Astaghfirullah. Aku beristighfar. Ada ke patut aku mendoakan begitu?
Dia memandang aku dengan tajam bagaikan mahu menelan aku hidup-hidup. Jantung sudah berdegup kencang, risau dengan apa yang akan dilakukan terhadap aku. Apabila dia mara ke arahku, aku tidak mampu lari. Kaki ini seperti sudah digam pada tanah.
Satu detik.
Dua detik.
Tiga detik.
Aku memejamkan mata rapat-rapat. Aku fikir dia akan menaikkan tangannya pada mana-mana bahagian tubuhku sebaliknya aku merasakan hembusan pada wajahku. Hembusan itu terlalu dekat. Automatik aku membuka mata. Kedudukan kami begitu dekat. Hanya tiga inci sahaja. Mata aku bertemu dengan dadanya. Aku menelan air liur, memaksa diri untuk mendongak memandangkan dia berketinggian enam kaki sedangkan aku ini macam ayam serama.
“Kau tak tahu dengan siapa kau bercakap sekarang ni.” Ayat itu melantun masuk ke dalam telinga.
“Huh?” Mataku bulat.
Dia masih merenungku. Aku jadi tidak sedap hati apabila direnung sebegitu. Tangan aku sudah naik ke atas, mahu menolak dadanya. Namun, dia terlebih dahulu menjarakkan diri daripadaku.
“Kenapa kau telefon polis? Dia orang akan cari kau.”
Aku terdiam. Dah tu takkanlah aku nak biarkan saja?

ALEZ NATALIA

PROLOG


15 TAHUN. Satu jangka masa yang panjang.
Selama 15 tahun itu aku menanggung kesunyian. Aku kehilangan kedua ibu bapaku dalam nahas kemalangan. Tiada keadilan untukku dalam dunia ini, tiada tempat untuk melarikan diri. Aku tiada adik-beradik yang lain. Mereka pergi bersama kedua orang tuaku. Meninggalkan aku sendirian. Terpaksa berteduh dan menumpang kasih dengan ibu saudaraku. Walaupun dia melayan aku dengan baik, aku masih dahagakan kasih sayang daripada kedua ibu bapaku.
Dalam kata lainnya, aku keseorangan. Aku cuba mencari makna hidup ini. Aku juga menginginkan sesuatu yang bermakna untuk diri aku. Tetapi dia tiba-tiba hadir tanpa aku duga. Meragut segala ketenangan aku. Menjadikan aku tikus yang diawasi oleh ular-ular yang kelaparan.
Dan dia ialah Alez Bernardino.

Saturday 2 April 2016

Hanya Kerana Dia
by Lova Naura


ASHA tidak terus balik ke rumah sebaik habis kuliah. Dia berlegar-legar di tepi jalan. Kalau dia balik pun dia pasti kena menghadap bebelan Mak Siah. Geram pula dengan mak tirinya itu. Ada saja yang tak kena di matanya. Dahari pula selalu membela Mak Siah. Seolah-olah dia bukan anak ayah. Padahal dia bukan hendak tinggal lama pun di rumah itu. Selagi masalahnya belum selesai selagi itulah dia terpaksa menumpang Dahari.
            “Yo!”
            Asha menoleh pantas. Harina berlari anak-anak ke arahnya sambil menjinjit beg. Dari mana entah kawannya itu. Tadi tidak masuk kelas.
            “Kelas macam mana tadi? Dr. Azhar mengamuk tak aku tak masuk kelas?” Harina terlebih dahulu membuka suara. Asha menengadah kepala. Dia menyelak selendang yang menampar wajahnya akibat ditiup angin malam.
            “Macam mana? Macam tulah. Dr. Azhar dah kenal perangai kau tu,” ujar Asha. Harina tersengih macam kerang busuk.
            “Jom lepak. Aku nak bawa ke satu kedai pak cik ni.” Harina sudah merangkul bahu Asha, menariknya tanpa sempat Asha mengeluarkan bantahan. Diheret kawannya itu melalui jalan raya yang lengang itu. Sampai sahaja di kedai yang dikatakan Harina, kaki Asha kaku di tar. Sebuah kedai terpampang di ruang matanya. Dan kedai itulah yang sebolehnya dia tidak mahu menjejakkan kaki.
            “Hey, kenapa ni? Jomlah!” Harina menarik laju tangan Asha kemudian melepaskannya pantas menyebabkan tubuh Asha terdorong ke depan. Hampir saja tubuhnya menyembah bumi, ada tangan lain yang menahan dengan berpaut pada bahunya yang merintangi bahagian atas dadanya. Asha mengucap panjang. Tubuhnya ditegakkan. Baru dia angkat wajah, ingin mengucapkan terima kasih, bibirnya membeku.
            “Hello! Saya nak order, pak cik!” jerit Harina menyentakkan dua tubuh itu yang sedari tadi saling bertatapan mata. Asha membalikkan tubuh, menutup mulutnya. Tidak sangka hatinya masih berdebar tatkala menatap wajah itu. Dia menekapkan tapak tangan ke dada. Sungguh, perasaan ini masih ada! Masih ada untuk ‘pak cik’ itu. Mengapa terlalu sukar untuknya melupakan pak cik itu?
            “Asha, kat sinilah!” Harina melaung keras. Melihatkan kesungguhan kawannya itu Asha menapak jua ke arah Harina. Punggung dilabuhkan di sisi Harina. Sejurus itu Harina menolak mangkuk berisi maggi tomyam ke arahnya.
            “Makan. Pak cik ni yang buat.” Harina bercakap dengan maggi yang penuh di mulut. Berselera benar dia menghirup kuah tomyam itu sehingga muncung bibirnya. Namun mata Asha masih pada sebatang tubuh yang sedang menghadap sungai itu. Maklum kedai bergerak itu tersadai di atas jambatan yang berdekatan dengan sungai.
            “Kau tengok apa. Pak cik tu?” Harina mengejutkan Asha. Terus Asha menoleh. “Apa dia?”
            “Pak cik tu…” Harina menelan sisa maggi dalam mulutnya sebelum menyambung kata, “hensem gila. Aku tak sangka ada pak cik yang hensem macam dia. Aku ingat nak ngorat dia tapi awal-awal lagi dia cakap dia dah ada isteri. Jadi, kalau kau pun ada hati nak try dia, kau lupakan ajalah niat kau tu. Prinsip kita, tak kacau hak orang kan?”
            Asha hanya diam. Malas hendak bertanya dengan lanjut. Dia sudah tahu lebih daripada apa yang Harina tahu.
            “Aku dah siap makan. Nak baliklah. Mengantuk. Kau nak balik sama dengan aku tak?” Harina menyiku Asha.
            Asha tersentak kemudian geleng. “Aku balik kejap lagi. Kau balik dulu.” Dia tahu dia selamat berada di kedai itu. Maka dia tidak perlu risau. Sudah pasti lelaki itu, pemilik kedai itu tidak akan membiarkan dia pulang keseorangan.
            “Kau betul ke ni? Berani ke balik sorang-sorang? Tak apalah. Pak cik Ajad boleh hantarkan. Ya tak pak cik?” Harina menjerit. Ajad menoleh. Dia hanya senyum. Matanya terus dilarikan apabila sedar Asha masih merenungnya sejak dari tadi.
            Harina menepuk bahu Asha sebelum beredar pergi. Dia bersiul-siul kecil. Asha sudah kerap kali menyuruhnya menghentikan tabiat bersiulnya itu namun Harina buat tidak endah. Pakaian pun dah serupa lelaki. Perangai pun nak ikut sama macam lelaki. Nasib baik belum terpesong.
            “Kenapa abang diam? Kenapa tak terus terang aja dekat Hay yang Asha ni isteri abang? Kenapa? Abang malu ada isteri muda macam Asha?” Sebaik Harina menghilang, terus Asha ‘menyerang’ Ajad dengan soalan bertalu-talu.
            Ajad menggelengkan kepala.
            “Jadi kenapa? Sanggup abang nak berpisah dengan Asha? Abang memang tak sayangkan Asha ke? Abang tak sayangkan anak kita?” Tangan Asha melekap di permukaan perut. Meyakinkan lelaki itu bahawa ada janin yang bernyawa di rahimnya.
            Mata Ajad bulat. Terkejut dengan pengakuan itu.
            “Abang nak berpisah dengan Asha tanpa abang sedar apa yang Asha rasa. Kita kahwin sebab apa, abang? Sebab cinta kan? Abang yang selamatkan Asha dari geng Komeng. Dari situ Asha jatuh cinta pada abang. Asha sedar jarak umur kita jauh tapi Asha berdegil nakkan abang. Abang kalah dan kahwin dengan Asha. Tapi kenapa baru sekarang abang nak lepaskan Asha?”
            Ajad panggung kepala. Itu bukan kemahuannya. Dia terlalu mencintai isterinya. Kerana cinta itu dia membuka hati untuk menerima cinta sekali lagi. Sayangnya, masih ada yang mencintai Asha lebih darinya. Iaitu bapa kandung Asha, Dahari.
            “Kenapa abang diam? Abang dah tak sayangkan Asha? Kalau abang tak sayang kenapa abang hadiahkan permata ni dalam perut Asha?”
            Ajad sudah tidak sanggup mendengar. Dia melangkah mendekati Asha. Tubuh Asha yang duduk dibangunkan lalu dipeluk erat. Terlepas rasa rindunya untuk merangkul tubuh itu. Tanpa disangka Asha membalas erat.
            “Jangan lepaskan Asha. Jangan jadikan Asha ibu tunggal dalam usia 19 tahun. Asha nak hidup dengan abang sampai bila-bila selagi Allah tak tarik nyawa kita. Please…Jangan lepaskan Asha.” Asha merintih pilu. Suaranya antara tenggelam timbul kerana dakapan itu benar-benar memerangkap tubuh kecilnya. Dengan ketinggian Ajad yang melebihi kepalanya, dia tenggelam sepenuhnya dalam pelukan itu.
            “Ada yang masih sayangkan Asha. Dan abang tahu dia masih tak boleh terima kisah silam abang. Dan abang juga terlalu tua untuk Asha. Sudah pasti dia tak berkenan.” Ajad akhirnya membuka mulut.
            “Tapi kita dah kahwin. Asha tak kisah umur abang. Apa yang ada pada umur? Hanya angka semata-mata. Dan kisah silam abang adalah sejarah. Yang penting abang dah tak buat semua tu.”
            “Itu cakap Asha. Tapi ayah Asha kisah pasal tu kan?”
            Pelukan dileraikan. Ajad menundukkan wajah, mengapit kedua-dua pipi isterinya dengan tangan.
            “Abang takkan abaikan Asha dan anak kita. Jadi, kalau Asha nak terus ada dengan abang, maka Asha perlu kuat.”
            Asha mengangguk. Air mata yang tersisa jatuh. Terus Ajad menyeka manik-manik halus itu dengan lembut. Kerana kelembutannya itulah Asha terpaut pada lelaki itu. Lelaki itu bukan lelaki biasa. Dia adalah bekas ketua samseng pada zaman mudanya. Namun dia kini lelaki biasa. Sejarah itu sudah terkubur. Dia juga semakin berusia. Dengan usianya yang hampir menjangkau 37 tahun, memang jelas urat-urat yang timbul di tangannya. Tetapi Asha tidak pandang semua itu. Dia hanya mahukan cinta itu. Cinta yang kali pertamanya bertakhta untuk Ajad. Pada pertemuan pertama mereka.
*****
TUBUH Asha ditolak rakus ke tar. Perit tubuhnya saat menghentam tar yang berkerutu itu. Dia mengerang sakit namun erangan sakitnya hanya satu hiburan bagi Komeng.
            “Kau nak apa? Kau ingat aku ni apa?” Asha menempik dalam kesakitan. Dia bangun dengan bersusah payah, kembali berdiri. Di tangannya sudah tergenggam sebatang kayu yang sempat dicapai semasa dia jatuh tadi. Hari ini jika dia terpaksa membunuh untuk mempertahankan maruahnya, dia sanggup!
            “Kau ni jinak-jinak merpati. Aku tak sangka kau semahal ni. Ni yang aku rasa nak try tubuh kau. Kau buat aku tak tahan….” Komeng mengusap tapak tangannya. Dia maju ke depan, Asha pula mundur ke belakang.
            “Kau jangan dekat! Aku bunuh kau!” jerit Asha dalam menahan gentarnya. Dia tahu dia perlu berhadapan dengan Komeng dan konco-konconya itu. Tiada jalan keluar dari situ melainkan dia perlu menewaskan empat lelaki bangsat itu.
            “Jangan takut, Asha. Come on. Come to me. Kita akan berseronok. Bukan tu ke yang kau nak sampai kau sanggup ikut aku ke mari?”
            Asha meludah. “Kau tipu aku! Kalau aku tahu kau nak apa-apakan aku, aku takkan ikut kau sampai ke sini! Aku bukan perempuan murahan!” Asha mengetap bibir. Sia-sia sahaja jika dia ingin membuat Komeng faham.
            Komeng ketawa terbahak-bahak. Dia semakin melajukan langkah. Asha mundur lagi sehinggalah tubuhnya terlanggar dinding. Dia tahu dia sudah terperangkap. Tiada lagi jalan keluar. Namun dia tidak akan sesekali mengalah. Dia perlu menentang lelaki itu walaupun dia harus mati sekali pun!
            “Kau ni degil,” bisik Komeng seraya menarik Asha ke arahnya. Asha meronta namun apalah sangat kekuatan tubuh kecilnya untuk menolak tubuh Komeng dari terus menghimpitnya.
            “Lepaskan aku…” Suara Asha semakin perlahan kerana pelukan kemas pada tubuhnya. Dia sudah tiada daya untuk menolak. Kali ini saja. Dia memohon pada-Nya. Berikan dia kekuatan untuk melawan Komeng.
            Telinganya terasa digigit. Asha mengaduh. Ditolaknya Komeng namun tidak berjaya. Matanya terpejam.
            Tiba-tiba saja tubuhnya terlepas dari rangkulan Komeng. Asha jatuh terduduk. Dia memeluk tubuhnya erat-erat. Di depannya dia nampak batang tubuh seorang lelaki yang sedang menangkis serangan konco-konco Komeng. Komeng dan konco-konconya dibelasah sehingga lembik.
            “Ikut aku!”
            Asha bangun. Lengannya ditarik rakus. Dia hanya mengikut saja ke mana lelaki itu membawanya. Tiba di sebuah rumah yang sederhana besar itu, Asha melepaskan lelah. Dia hampir saja melurut ke bawah namun tangan lain sempat memaut bahunya.
            “Kau siapa? Apa yang kau buat malam-malam macam ni? Kau dah tahu bahaya yang kau keluar juga tu kenapa?” Lelaki itu menyoal bertubi-tubi. Dia mendudukkan Asha pada buaian besi. Sementara dia pula duduk mencangkung di hadapan Asha.
            Asha merenung wajah itu. Nampak dengan jelas seraut wajah tampan yang berkumis nipis di hadapannya.
            “Saya Asha….Saya kena tipu…” Asha menjelaskan.
            “Kau jangan mudah percayakan jantan. Kau sedar tak kau tu perempuan? Kalau aku tak perasan kau tadi, aku tak tahu apa yang akan jadi pada kau!” Lelaki itu menghamburkan marah. Nasib baik terdetik hatinya untuk melalui kawasan gelap tadi. Jika tidak, Asha mungkin sudah tewas di tangan Komeng dan konco-konconya.
            “Kenapa pak cik selamatkan saya?” Asha bertanya. Dia memanggil lelaki itu pak cik kerana dia dapat menebak yang lelaki itu terlalu jauh beza dengan umurnya.
            “Kenapa? Yalah. Anak dara macam kau ni memang patut diselamatkan. Kalau tak rosak kau jadinya!”
            Asha menunduk. Tidak sanggup mendengar lelaki itu marah-marah. Perwatakan lelaki itu macam ayah. Itu pasal dia tidak berani untuk mealwan. Melawan ayahnya juga dia tidak pernah inikan hendak melawan cakap seorang lelaki yang telah menyelamatkannya. Sepatutnya dia berterima kasih kepada lelaki itu.
            “Terima kasih,” ucap Asha perlahan. Lelaki itu pura-pura tidak mendengar. “Apa kau cakap?”
            “Terima kasih pak cik sebab selamatkan saya.”
            Lelaki itu merengus. “Malam ni mungkin kebetulan. Lain kali aku dah tak boleh tolong kau dah. Berapa umur kau ni?”
            “18.”
            “Patutlah mudah sangat ikut jantan. Tak matang,” komen lelaki itu agak sinis. Asha mengangkat wajah. Terasa hina pula dirinya di mata lelaki itu.    
            “Saya tak semurah tu.” Asha menafikan sekerasnya.
            “Then, kau apa? Kalau kau tak murah, kenapa pakai macam ni? Tu tudung kat kepala kau tu kenapa singkat sangat? Baju ketat pula tu. Mana mahalnya kau? Kau sepatutnya berpakaian elok-elok. Tutup mana yang patut ditutup. Sebab nilah kau nak kena dengan ‘kucing’ tadi.” Keras sekali lelaki itu memerli. Terus Asha pandang ke tubuhnya sendiri. Terasa malu dengan teguran lelaki itu.
            “Kau tinggal kat mana? Aku hantarkan kau balik. Ini bukan rumah aku kalau kau nak duduk sini. Dan aku takkan bawa sembarangan orang ke dalam rumah aku. Lagi-lagi anak dara macam kau.” Lelaki itu mula menegakkan badan. Dia menyeluk poket jeansnya.
            Asha tidak berkutik di buaian besi itu. Patutlah lelaki itu tidak masuk. Rupa-rupanya bukan rumahnya.
            “Kau nak balik sendiri? Pergilah…” Ajad bersuara setelah menyedari Asha tidak berkutik. Kalau nak balik sendiri, itu bukan masalahnya pun.
            Cepat sahaja Asha bangun. Langkah lelaki itu diekori dari belakang. Harapnya lelaki itu benar-benar akan menghantarnya ke rumah. Siapa tahu lelaki itu sengaja berbuat baik di depannya untuk memerangkapnya.
            “Kau jangan risau. Aku takkan buat apa-apa pada kau. Kalau anak aku masih ada, kau baya dengan dia kut.” Lelaki itu berkata seolah-olah dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran gadis muda itu.
            “Pak cik dah kahwin?” Laju Asha menyoal. Sekadar ingin tahu. Tengok penampilan lelaki itu nampak benar dia jenis yang bergaya walaupun wajah sudah dimakan usia. Tetapi masih tampan.
            “Aku bercerai dengan bini aku. Anak aku meninggal sebab sakit. Semuanya salah aku yang terlalu sibuk dengan kerja sampai tak ada masa nak tengok-tengokkan anak sendiri. Akibatnya, bini aku lari ikut jantan lain.”
            Asha hanya mendengar dengan kusyuk perjalanan lelaki itu. Sedar tidak sedar mereka sudah sampai di sebuah banglo setingkat di kawasan perumahan itu. Asha mahu membuka pintu pagar namun suara lelaki itu menghentikan tindakannya. Dia menoleh lambat-lambat.
            “Kau kena ingat apa yang aku cakap tadi. Pakai baju elok-elok. Tak adalah orang boleh tengok tubuh kau,” pesan lelaki itu mahu beredar. Asha memanggil perlahan. Lelaki itu memalingkan wajah, tidak membalikkan tubuh.
            “Siapa nama pak cik?”
            “Aku? Aku Ajad.”
            Asha menghantar kepergian lelaki itu dengan ekor matanya.
*****
BERSAMA dengan Ajad membuatkan Asha bahagia. Jauh benar perbezaan jarak antara mereka namun berkawan dengan lelaki itu mengisi hidupnya yang kosong.
            “Pak cik, saya hairan dengan pak cik,” luah Asha sewaktu dia sedang menikmati mi kuah yang dimasak oleh Ajad. Lelaki itu memiliki kedai bergerak. Maka selalu juga dia makan di kedai itu.
            “Kau nak hairan apa?” Ajad tekun menghadap kerjanya yang boleh diperhatikan pelanggan kerana tiada penghadang. Dengan itu matanya selalu bertaut dengan Asha setiap kali dia mengangkat muka.
            “Pak cik pandai berlawan. Pak cik ada self-defence ke?”     
            Ajad senyum senget. “Aku ni bekas ketua samseng dulu. Masa aku muda-muda macam kau.”
            Suapan mi kuah terhenti. Asha pandang Ajad lama. “Bekas ketua samseng? Betul ke ni? Jangan nak main-main dengan saya, pak cik. Saya tak percaya pak cik. Pak cik baik. Mustahil pak cik sejahat tu dulu.”
            Tangan Ajad terhenti. Dia pandang wajah Asha. Lama. Gadis muda itu selalu datang ke kedainya. Tetapi setiap kali Asha datang, dia perasan Asha selalu mencuri pandang ke arahnya. Dia anggap itu perkara biasa. Namun sikap prihatin Asha semakin menjadi-jadi.
            “Aku memang jahat dulu tapi sekarang aku dah berubah. Kau tengoklah hidup aku. Macam orang normal kan?”
            “Baik. Saya percaya. Tapi kan….” Asha berhenti sejenak.
            Dahi Ajad terkerut. “Apa dia? Kau nak cakap apa?”
            “Lepas ni saya dah masuk kolej. Mesti jarang saya dapat jumpa dengan pak cik,” luah Asha berasa sayu pula saat teringatkan kesibukannya sebagai pelajar kelak.
            “La…Tu memang tugas kau kan? Nak belajar buat cara belajar. Takkan kau asyik nak jumpa aku?” Selamba Ajad berkata tanpa dia sedar Asha sedang mengetap bibir.
            “Saya nak ada dengan pak cik!” Asha hampir menjerit. Ajad terkaku. Bulat matanya memandang Asha. Apa kena dengan gadis itu? Apa maksudnya dia mahu terus bersama denganku?
            “Sa…Saya…cintakan pak cik….” Terluah juga kata-kata itu di bibir. Kata-kata yang tersimpan di hatinya selama ini. Hari ini dia mengaku jua. Mengaku perasaan cinta yang ada untuk lelaki itu. Dia tidak kisah tentang umur. Dia tidak kisah akan sejaah silam lelaki itu. Apa yang pasti hatinya sudah terkena panahan cinta lelaki itu. Lelaki itu juga banyak menyedarkannya pasal Islam. Banyak memberi nasihat. Tidak mungkin dia tidak jatuh cinta dengan lelaki itu. Asalnya memang dia hanya mahu berkawan sahaja dengan lelaki itu kerana sedar umurnya yang terlalu muda untuk lelaki itu namun semakin kuat dia memendam perasaan itu, semakin kuat ia datang mengusik hati. Dan perasaan itu tidak mampu ditepis.
            Ajad mula tidak keruan. Mendengar luahan cinta gadis muda itu menyebabkan dia nanar seketika.
            “Pak cik pun ada perasaan yang sama macam saya kan?”
            Ajad diam. Tidak menjawab. Dia masih dalam keadaan terkejut. Bagaimana harus dijelaskan kepada gadis muda itu bahawa mereka berdua tidak sesuai untuk bersama? Antara mereka seperti langit dan bumi.
            “Pak cik, saya sayangkan pak cik...”
            “Buang perasaan tu. Aku tak boleh balas. Kau dah macam anak aku sendiri. Mustahil. Sangat mustahil.” Tergeleng-geleng kepala Ajad cuba menidakkan.
            “Saya takkan buang perasaan tu! Ini cinta pertama saya. Kenapa pak cik tak boleh faham saya?”
            “Kau sendiri panggil aku pak cik jadi bermakna takkan ada apa-apa antara kita! Kau dah macam anak aku…..”
            “Tapi saya bukan anak pak cik!” pintas Asha laju. Terus Ajad tidak jadi hendak membalas. Nafas dihela berkali-kali. Tangan menyapa dahi. Sungguh dia tidak sangka Asha seberani itu untuk meluahkan perasaan pada seorang lelaki yang menganggapnya sebagai anak.
            “Saya tetap akan cintakan pak cik walaupun pak cik suruh saya buang perasaan ni. Kalau pak cik rasa pak cik juga cintakan saya, saya akan tunggu pak cik. Saya akan tunggu berapa lama pun. Sebab saya takkan tepis perasaan ni.”
            “Kau memang degil, Asha,” gumam Ajad perlahan. Asha menyapu air mata di pipinya. “Sebab tak ada orang yang ambil berat pada saya sepertimana awak ambil berat pada saya. Saya perlukan awak. Perlukan awak.” Tiada lagi panggilan pak cik untuk lelaki itu. Jika dia terus menggunakan panggilan itu, sampai bila-bila pun Ajad akan menganggapnya seperti budak mentah. Dia mahu dirinya dipandang sebagai seorang perempuan dewasa. Dengan itu, Ajad mungkin akan memberi peluang kepadanya.
            Ajad hanya mengerling Asha yang sudah tenang itu. Perasaan itu? Untuk Asha? Adakah ianya wujud?
*****
“APA? Nak kahwin? Asha sedar tak apa yang Asha cakap ni? Tak mungkin. Ayah tak kasi!” Dahari membantah kerasa hasrat anaknya itu. Mana mungkin dia mahu menyerahkan anaknya kepada lelaki lain selagi anaknya belum mampu menguruskan diri sendiri. Nak-nak lagi hendak menyerahkan kepada lelaki yang terlalu tua untuk Asha.
            “Asha cintakan dia, ayah. Kenapa ayah tak boleh faham anak ayah?” Asha masih merayu. Dia tidak kisah apa yang Dahari mahu katakan. Dia hanya memerlukan keizinan ayah. Itu sahaja.
            Dahari mencekak pinggang. “Ayah tak kisah kalau kau nak kahwin. Tapi bukan sekarang. Kau masih muda. Apa yang kau tahu pasal kahwin? Dan kau nak ayah kasi kau pada lelaki yang macam pak cik kau sendiri? Dia terlalu tua untuk kau, Asha.”
            “Hanya 18 belas tahun beza umur antara Asha dengan dia. Jadi, Asha tak kisah. Asha tak kisah pasal umur. Asha cuma mahu ada dengan dia. Asha cintakan dia.”
            Dahari merengus. Dia tahu jika dia terus menghalang, anaknya tetap juga mahukan Ajad. Kalau itu boleh buat anaknya bahagia, dia sanggup mengalah. Namun itu tidak bermakna dia terima Ajad sebagai menantunya.
            “Baiklah. Ayah bagi keizinan. Tapi ayah tetap tak boleh terima dia sebagai menantu ayah. Kalau dia kecewakan anak ayah, balik sini. Balik ke pangkuan ayah. Ayah akan terima Asha balik.” Dahari mengalah. Terus Asha meluru ke arahnya. Dipeluk tubuh tua Dahari seeratnya.
            “Terima kasih, ayah,” bisik Asha dalam nada penuh syukur.
            Dahari pejam mata. Menahan air mata yang ingin luruh. Rasminya Asha menjadi isteri orang, rasminya juga dia melepaskan tanggungjawabnya kepada suami anaknya kelak.
*****
AJAD menarik tubuh isterinya dekat dengannya. Kedua-duanya menghadap sungai yang mengalir deras itu. Suasana malam menjadikan kawasan itu agak indah walaupun lengang tiada orang.
            “Abang,” seru Asha perlahan. Ajad menoleh ke arahnya. “Apa dia, Asha?”
            “Kisah kita baru bermula kan?”
            “Maksud Asha?”
            “Abang takkan lepaskan Asha kan? Abang akan ada dengan Asha sampai ke hari tua Asha kan? Sampai anak-anak kita besar kan?”
            Ajad senyum. Tangan yang memaut bahu isterinya dileraikan lalu tubuh Asha dibalikkan menghadapnya. Jika dulu Asha berdegil dalam mempertahankan cintanya, sehingga sekarang kedegilannya tetap ada. Berdegil untuk terus hidup di sisinya walaupun Dahari masih belum menerimanya sebagai menantu.
            Pipi Asha disentuh lembut. Mata mereka berpadu dalam kepekatan malam.
            “Abang dah cakap kan? Kalau Asha nak terus ada dengan abang, Asha kena kuat untuk terima setiap dugaan,” ujar Ajad. Asha mengangguk. Dia sudah rela untuk menempuh segala ujian dari-Nya asalkan Ajad dengannya. Tidak lama lagi dia akan melahirkan zuriat sulung hasil cintanya bersama Ajad. Jika Ajad tiada di sisinya, dia tidak tahu bagaimana untuk menghadapinya seorang diri.
            “Asha sayangkan abang,” ucap Asha seraya memeluk kejap tubuh tegap suaminya. Dia mahu menangis namun dia tidak mahu merosakkan momen yang indah ini dengan lelehan air mata.
            Ubun-ubun kepala Asha dikucup. Kemudian dibisikkan tiga patah perkataan di telinga isterinya. Asha mengukir senyuman dalam cuba menahan air matanya.
*****
AJAD masih tidak pulang walaupun jarum jam sudah menginjak ke angka 12. Selalunya suaminya akan pulang paling lewat pun dalam pukul 10.30. Tetapi sekarang waktunya semakin melebihi rutin kebiasaannya.
            Asha mundar mandir di ruang tamu dengan kerisauan berganda. Di manakah suaminya? Di manakah Ajad?
            Tanpa berlengah Asha mencapai telefon dari meja kopi. Didail nombor milik Harina. Dia tahu Harina selalu makan di kedai Ajad. Jadi mungkin kawannya itu tahu tentang suaminya.
            “Assalamualaikum, Hay,” sapa Asha dengan salam terlebih dahulu. Harina menjawab dengan desahan nafas yang tidak keruan.
            “Kenapa ni Hay? Kau okey?” Asha mula dilanda risau. Mendengarkan nafas itu menandakan kawannya itu berada dalam bahaya. Mungkinkah kawannya itu bersama dengan Ajad? Jika benar, itu juga bermaksud Ajad juga dalam bahaya?
            “Asha….Pak cik…Pak cik…kena pukul…”
            “Apa dia? Kau kat mana sekarang ni? Aku datang sekarang!”
            “Jangan bagi Asha datang!” Jelas sekali amaran itu yang melantun ke pendengaran Asha. Dia kenal suara itu. Itu suara Ajad. Itu suara suaminya!
            “Hay! Suami aku ada kat sana ke?” Asha separuh menjerit. Dia tidak dapat membayangkan jika suaminya dibelasah, diterajang di depannya. Mungkin sebab itulah Ajad tidak mahu dia ke sana. Tetapi bagaimana mahu dia tenang dalam memikirkan keadaan suami dan kawannya di tangan penjahat?
            “Suami? Hanya pak cik kat sini…Kau jaga diri. Itu pesan pak cik kat kau…..Argh!” Talian mati sejurus Harina meraung. Asha masih memanggil nama itu namun talian sudah mati. Asha terus mengalirkan air mata. Dia perlu meminta tolong daripada Dahari! Itu saja caranya. Ayahnya tidak mungkin membiarkan anaknya kehilangan suami. Terus nombor milik Dahari pula didail. Apabila Dahari menyahut di hujung talian, Asha melepaskan tangisan menyebabkan Dahari menggelabah.
*****
SEBAIK tiba di tempat yang sunyi itu bersama-sama dengan barisan anggota polis, dia mencari-cari tubuh Ajad dan Harina. Dua tubuh itu tiada. Hanya ada tubuh-tubuh yang tidak dikenali bergelimpangan di kiri dan kanan.
            “Abang! Hay!” Asha menjerit memanggil nama-nama itu namun tiada sahutan. Dia mula melurut ke bawah. Semakin yakin Ajad dan Harina tiada di situ. Dahari yang berdiri di sisi terus memaut tubuh anaknya daripada jatuh.
            “Abang….Jangan tinggalkan Asha…Asha perlukan abang….Anak kita….perlukan ayahnya….” Asha mengongoi. Air matanya semakin laju membasahi pipinya.
            “Encik!” Salah seorang anggota polis memanggil. Dahari menoleh. Anggota polis itu sedang memapah sekujur tubuh. Tubuh seorang gadis. Asha turut menoleh. Harina!
            “Hay!” Asha meraung melihatkan keadaan tubuh dan wajah Harina yang penuh darah merah. Mata itu kuyu. Antara pejam dan celik.
            “Hay, mana suami aku?” Asha segera mendapatkan Harina. Tubuh Harina telah dibaringkan di lantai oleh anggota polis yang memautnya tadi.
          “As…sha…Pak…cik…tu…sua…mi…kau…kan…Sam…pai…hati…kau….tak…bagitahu…a…aku…” Harina bersuara dengan tersekat-sekat. Darah membuak keluar dari mulutnya.
            Asha menggenggam tangan Harina erat-erat. “Ya dia suami aku. Maafkan aku sebab tak bagitahu kau. Maafkan aku…”
            “Suami...kau ada kat…dalam…gudang…dia…kena…tikam…Selamat…kan…dia..” Agak bersusah payah bagi Harina untuk bercakap. Dia senyum sebelum tubuhnya terkulai. Asha menjerit. Mengapa begini pengakhirannya?
            “Hay, maafkan aku. Ya Allah, selamatkan Hay...” Rintihan Asha semakin berlagu. Dengan langkah lemah dia menapak ke dalam gudang. Dia menjerit memanggil nama Ajad. Keadaan gudang yang gelap tu menyukarkan matanya untuk mengesan tubuh suaminya.
            “Abang!” Asha tidak berputus asa. Jika dia mengalah sekarang, dia mungkin akan kehilangan Ajad untuk selama-lamanya.
            “A...sha….”
            Terus Asha melingas ke kiri dan ke kanan. Itu suara suaminya. Suara Ajad. Tapi di manakah dia?
            “Abang kat mana?”
            “Abang….kat…bela…kang….sayang….”
            Asha menoleh pantas. Terbuntang matanya saat melihat tubuh yang bersandar pada dinding dengan memegang perut. Asha menerpa ke arah tubuh itu. Pipi Ajad yang berdarah diapit, memaksa suaminya membuka mata.
            “Abang kena kuat…” Asha berbisik di wajah suaminya. Ajad angguk. Kesakitan kian mencucuk di perutnya. Tikaman itu bagai mahu merenggut nyawanya.  Dia tidak pasti sama ada dia mampu bertahan atau tidak.
            “Abang kena bertahan….Demi Asha…Demi anak kita….”
            Suara itu semakin sayup-sayup di telinga. Semakin jauh. Pandangannya mula kelam. Hanya jeritan saja yang seakan-akan terngiang-ngiang di telinganya.
*****
ASHA menyebak rambutnya. Dia menyentuh perutnya yang semakin hari semakin membesar. Nampaknya dia terpaksa menangguhkan semester selepas melahirkan kelak. Tetapi tidak mengapa kerana itu kehendak dia sendiri. Dia yang sanggup menjadi ibu muda. Kini Dahari sudah menerima dia dan Ajad. Nampaknya ayah sudah tidak sabar untuk menyambut kelahiran cucu sulungnya tidak lama lagi. Kerap juga ayah menelefonnya bertanyakan keadaannya. Ayah juga berpesan jika Ajad sibuk dengan kedainya, dia perlu menelefon ayah dengan segera supaya ayah boleh menemaninya. Dengan keadaannya yang sarat itu kerisauan ayah semakin berganda.
            “Sayang menungkan apa ni?” Ajad datang merapatinya. Dikucup dahi isterinya itu. Asha senyum pendek. “Teringatkan peristiwa berdarah tu. Peristiwa Asha hampir kehilangan seorang suami dan seorang kawan baik.”
            Ajad merangkul pinggang isterinya kemas. “Tak usah Asha fikirkan. Apa yang penting abang dan Hay selamat kan?”
            Asha mengangguk mengiyakan. Syukur kepada-Nya. Berkat kasih sayang-Nya, nyawa Harina dan Ajad dapat diselamatkan. Peristiwa itu hampir menyaksikan dia kehilangan Ajad dan Harina di depan mata. Gara-gara Harina berada di kedai Ajad, dia turut terlibat sama dalam kejadian itu. Nasib baik dia tidak menyalahkan Ajad malah berterima kasih kerana telah melindunginya dari diapa-apakan. Mengingati peristiwa itu, mindanya turut terlayar pada peristiwa yang menjadi pertemuan pertamanya dengan Ajad.
            “Asha tak tahu apa yang akan jadi pada Asha dan anak kita kalau abang tinggalkan Asha,” luah Asha dalam nada kendur.
            “Abang dah janji kan?” Kening Ajad terangkat. Dia menarik kepala isterinya ke bahunya. Semoga hari esok tiada lagi peristiwa berdarah itu. Dia mahu Asha terus ada di sisinya. Cukuplah kisah silamnya diuji. Biar hari seterusnya menjanjikan kebahagiaan untuk dia dan Asha serta permata hati mereka yang bakal menjengah ke dunia kelak.


Tamat